Tazkirah

Monday, August 22, 2005

Hadith 13 of Forty Hadiths of Imam An-Nawawi

Abu Hamzah Anas bin Malik, radiyallahu 'anhu, who was the servant of the Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, reported that the Prophet, sallallahu 'alayhi wasallam, said:
"None of you truly believes (in Allah and in His religion) until he loves for his brother what he loves for himself"
[Al-Bukhari & Muslim]
source: http://fortyhadith.iiu.edu.my/hadith13.htm

Thursday, August 11, 2005

UIAM, UKM juara Debat Bahasa Arab Universiti

PASUKAN Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing muncul juara Pertandingan Debat Bahasa Arab Antara Universiti Kali Ke-3 di UIAM, Gombak, baru-baru ini.

Sebagai pembangkang UIAM yang memenangi kategori Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua itu diwakili Nazri Atoh, Siti Salwa Mohd Noor, Amirah Ahmad Zain dan Nor Ratasha Kasim mengemukakan hujah bertajuk Senjata Nuklear Hak Eksklusif Negara-Negara Tertentu.UKM pula memenangi kategori Bahasa Arab sebagai Bahasa Pertama pula diwakili Malik Abdul Karim, Mohammad Al-Kamel, Mohamed Mohamad Tolba dan Emad Sobhi Mohammad Battah bertindak di pihak kerajaan membahaskan tajuk ‘Masalah Sosial Tanggungjawab Kerajaan’.Kedua-dua pasukan berkenaan menerima Piala Debat Bahasa Arab, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

ps: terharu dan amat gembira dengan kejayaan mahasiswa/siswi yang mampu berdebat dlm bahasa arab. terfikir pula bilakah giliran aku atau maybe anak cucu aku untuk mampu menuturkan lidah ibunda Nabi SAW

Isteri solehah pasti pelihara 10 sifat
Oleh Dr Hafidzah Mustakim


DALAM satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra sambil bertanya kepada saya: “Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin besar dan akan berumah tangga.”

Saya membalas : “Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada mereka."Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi, apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa muda-muda masih ingat nasihat itu.”

Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam. Mari hayati pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka. Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu. Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya. Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah. Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.

Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya. Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu. Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:

- Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.
- Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah. l Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada ‘dua bahagian muka syiling’. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah. Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa: "Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan berubah secara positif.”

Penulis ialah doktor perubatan persendirian dan AJK JIM Pusat serta boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Tuesday, August 09, 2005

Tidak masuk syurga jika menyakiti jiran

KONSEP kejiranan dalam Islam meliputi juga jiran yang tinggal jauh, Muslim atau bukan Muslim dan keluarga atau bukan keluarga. Orang yang tinggal serumah dengan kita, orang yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 rumah dari rumah kita dan orang yang tinggal satu negeri juga dikira sebagai jiran dalam Islam. Menurut Jabir, Rasulullah SAW mengkategorikan jiran kepada tiga iaitu jiran yang mempunyai tiga hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai satu hak.

Jiran yang mempunyai tiga hak ialah jiran Muslim yang mempunyai hubungan keluarga. Tiga hak yang ditentukan kepada jiran ini ialah hak Islam, jiran dan keluarga.Jiran yang mempunyai dua hak pula ialah jiran Muslim iaitu hak Islam dan jiran. Sementara jiran yang mempunyai satu hak ialah zimmi iaitu orang kafir yang berada dalam naungan Islam. Satu hak yang ditentukan kepada jiran ini ialah hak jiran semata-mata.

Hak jiran

Apakah hak jiran? Rasulullah tidak lupa memberitahu kepada kita mengenai hak jiran, malah menerangkan dengan terperinci. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tahukah kamu apakah hak seorang jiran itu? Jika dia meminta tolong hendaklah kamu menolongnya. Jika dia susah, hendaklah kamu bermurah hati kepadanya dan jika dia sakit hendaklah kamu merawatnya.“Jika dia mati, hendaklah kamu menghantar jenazah ke pusara. Jika dia mendapat kebaikan, hendaklah anda turut gembira bersamanya dan jika dia mendapat kesusahan, hendaklah anda turut berasa susah. “Perlu ingat, jangan meninggikan bangunan rumahmu sehingga menahan angin ke rumahnya, melainkan dengan izinnya. Jangan menganiaya atau mengacaunya.“Jika anda membeli buah-buahan berilah sedikit kepadanya. “Jika anda enggan memberi maka hendaklah anda membawa masuk ke rumah dengan tidak menampakkannya kepada mereka. Jangan membenarkan anakmu memakannya di luar rumah, sehingga menimbulkan kemarahan anak-anaknya.

“Jangan mengganggu mereka dengan bau periuk anda (makanan yang sedang dimasak) kecuali jika anda memang berniat memberi mereka sedikit. “Tahukah kamu apakah hak jiran? Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman-Nya, tiada siapa yang mampu memenuhi hak seorang jiran, kecuali orang yang telah mendapat rahmat daripada Allah.”Berdasarkan maksud sabda Rasulullah, ada 12 hak jiran yang mesti diberi keutamaan. Hak itu adalah tuntutan yang bukan saja menjadi ibadat jika dilakukan kerana Allah dan rasul-Nya, tetapi mampu untuk membentuk budi pekerti mulia dan menyelamatkan seseorang Muslim daripada api neraka.

Abu Hurairah menerangkan fenomena ini pernah diberitahu kepada Rasulullah mengenai seorang perempuan yang bersembahyang pada waktu malam dan berpuasa pada waktu siang.Malangnya, lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya, maka Rasulullah bersabda: “Tiada kebaikan kepada wanita itu dan tempatnya adalah di dalam neraka.”